Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BERUAS: Sekali imbas, gayanya menyerupai seorang tukang membaiki rumah dengan topi terletak kemas di kepala serta lengkap bersarung tangan.

WhatsApp Image 2017-10-25 at 14.45.01

Hakikatnya, insan yang mencangkul tanah, mengecat rumah dan memaku atap rumah dalam program Gotong Royong Perdana Beruas itu adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Peribadinya yang ceria, mudah berbual dengan orang ramai dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, ternyata mendatangkan kegembiraan buat penduduk yang menerima kunjungannya pada pagi Rabu.

Permukiman Menteri Besar yang bermula di Pengkalan Hulu pada Februari tahun lepas kini tidak disedari telah sampai ke lokasi terakhir iaitu daerah Manjung yang meliputi Lumut, Teluk Batik, Teluk Senangin dan Beruas.

Memasuki hari kedua pada Rabu, program permukiman kali ini menyaksikan pelbagai lapisan masyarakat menyertai program kemasyarakatan yang bermula seawal pukul 7.30 pagi.

Gotong-royong Perdana yang diketuai oleh Dr Zambry sendiri menerima kerjasama dan sokongan padu daripada penduduk sekitar pekan Beruas yang turun berkumpul di padang awam mukim tersebut.

WhatsApp Image 2017-10-25 at 14.45.10

Tampak ringkas, namun aktiviti seperti memotong rumput, menanam semula anak-anak pokok, membersihkan longkang serta mengecat bangunan lama di sekitar pekan yang pernah menjadi lokasi sejarah terkemuka itu sememangnya mendapat sambutan cukup meriah oleh penduduk setempat.

Usai program berkenaan, Dr Zambry turut berkesempatan melawat beberapa buah rumah dalam Program Ziarah Kasih di Kg Kilang di sini yang menyaksikan beberapa warga emas begitu gembira bertemu dengan anak jati Pangkor itu.

Dr Zambry yang juga ADUN Pangkor turut melawat Muzium Beruas dan sempat menggayakan tanjak serta mencadangkan penambahbaikan dilakukan di beberapa lokasi yang dilawat oleh beliau sepanjang empat jam program berlangsung.