Itu inisiatif dilakukan pereka anggota mekanikal teknologi cetakan 3 dimensi (3D) Sujana Mohd Rejab, 52, yang menggunakan kemahirannya mereka bentuk perisai muka untuk petugas barisan hadapan manakala Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) pula menabur bakti kepada masyarakat menerusi program sanitasi perdana percuma selain kaedah membuang pelitup muka dengan betul.

Sujana berkata, keperluan mendesak penggunaan perisai muka ketika negara berdepan saat genting dilanda pandemik Covid-19 mencetuskan idea kepadanya menyumbang kepakaran mereka bentuk kelengkapan perlindungan diri (PPE) itu sejak Mac lalu.

“Kebetulan negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan, Mac lalu, jadi saya mendapat idea untuk menyumbang tenaga dan kepakaran menghasilkan perisai muka untuk kegunaan barisan hadapan melindungi diri daripada risiko jangkitan virus ini

“Istimewanya misi ini turut dijayakan bersama rakyat Malaysia yang prihatin menyumbang modal termasuk mesin serta material untuk menghasilkan perisai itu.

“Hasilnya saya dan pasukan berjaya mengeluarkan bingkai perisai muka menggunakan teknologi 3D yang rekaannya ditambah baik supaya mesra pengguna dan mudah digunakan,” kata pemilik syarikat Myvista yang khusus dalam teknologi cetakan 3 dimensi dan berpangkalan di Ipoh, Perak itu.

Menurutnya, lebih 13,000 perisai muka yang berjaya dihasilkan disalurkan secara percuma kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Bukan hanya petugas perubatan di hospital dan klinik mendapat manfaat, malah kita juga mengedarkan perisai muka ini kepada polis, kastam serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Ini sebagai satu sumbangan khidmat masyarakat kepada negara dan membantu mengurangkan kos ditanggung kerajaan dalam pembelian PPE itu kerana kami berjaya kurangkan kos minimum kepada hanya RM3 sekeping berbanding harga pasaran luar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Usim Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pihaknya mengambil pendekatan menerusi dua program utama dalam membantu kerajaan dan masyarakat melaksanakan budaya norma baharu ini.

“Kami melaksanakan program sanitasi awam perdana di seluruh Nilai dan Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini secara percuma.

“Menariknya bahan semburan yang digunakan dibuat hasil daripada penyelidikan Fakulti Sains dan Teknologi Usim yang dinamakan FaST LaB Surface Disinfectant,” katanya.

Menurutnya, Usim juga giat memberi kesedaran mengenai kaedah pembuangan pelitup muka dengan betul menerusi penubuhan pasukan khas terdiri daripada beberapa penyelidik universiti terbabit.

“Usim bertindak sebagai pilot program dalam menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tong sampah khas untuk pembuangan pelitup muka terpakai.

“Pada peringkat awal, program ini dilaksanakan dalam kampus Usim dan akan diperluaskan menerusi kerjasama dengan sekolah di sekitar Nilai,” katanya.

Malaysia kini giat melaksanakan empat strategi sempena Kempen Pembudayaan Norma Baharu dalam usaha berterusan memerangi dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Ia membabitkan penjarakan fizikal, perlindungan diri, pengawalan sempadan dan pergerakan.

-HarianMetro