ALOR SETAR: Seorang ejen insurans meraung selepas mendapati anjing kesayangannya rentung dalam kebakaran membabitkan 11 rumah kedai di Pekan Pokok Sena dekat Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad, di sini, pagi tadi.

Selain haiwan peliharaannya, peti besi mengandungi wang tunai miliknya juga dipercayai musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 pagi itu.

Antara premis terjejas adalah, kedai basikal, plastik, insurans, elektrik dan klinik gigi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Hui, 64, berkata, sebelum kejadian itu, dia yang menetap di bandar ini ada menerima panggilan telefon daripada rakannya pada jam 2 pagi memberitahu alat penggera di premisnya berbunyi.

Katanya, dia ke kedainya untuk menutup alat penggera itu dan pulang sejurus selesai kerana bercadang ke kedainya semula pada jam 5 pagi.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila rakan menelefon lagi dan memberitahu premis sudah terbakar.

“Saya bergegas ke lokasi dan mendapati, sederet bangunan kedai di sini sudah musnah dan tiada barang yang sempat diselamatkan.

kawasan Rumah Terbakar

“Lebih menyedihkan saya apabila anjing yang saya pelihara sejak kecil ditemui rentung berhampiran peti besi yang mengandungi sejumlah wang tunai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Sham Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, api marak dan operasi pemadaman dimulakan jam 4.21 pagi dan turut dibantu anggota BBP Alor Setar.

“Seramai 30 anggota daripada dua balai terbabit dalam operasi selain kita juga dibantu 70 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Struktur kayu di bahagian atas dan konkrit di bahagian bawah menyebabkan api cepat merebak dan kebakaran dipercayai berpunca daripada salah satu premis di bangunan itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan melainkan seekor anjing. Tiga motosikal turut musnah, namun punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya – berita harian