KOTA KINABALU: “Show terakhir”. Begitu pesanan terakhir Mejar Mohd Zahir Armaya AR Badul kepada ibunya, Rusunjan Mohd sebelum dia mati tertembak dalam satu pertunjukan cara di Kem Lok Kawi hari ini.

Rusunjan, 56, dari Kampung Indai di Tuaran berkata, Zahir mengucapkan kata-kata itu di WhatsApp, berkenaan peranannya dalam pertunjukan sempena pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri (13 Bgd).

Beliau mendapat berita buruk mengenai Zahir, anak pelakon veteran AR Badul, daripada pihak tentera semasa dia berada di pasar.

“Zahir menghubungi saya malam semalam, dia beritahu dia terlibat dalam satu pertunjukkan cara – dia kata itu ‘show’ terakhirnya.

“Saya menasihatkan dia supaya berhati-hatilah selalu…sebagai seorang ibu, saya redha dengan apa yang berlaku,” katanya dengan mata yang mempamerkan kesedihan, ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth di mana Zahir diisytiharkan meninggal dunia.

Rusunjan menambah Zahir berhasrat untuk melawat kampung halaman di Tuaran, yang sudah hampir 7 tahun tidak dikunjunginya.

Beliai juga mahu membeli buah-buahan untuk dimakan bersama ahli keluarga di Sabah selepas pertunjukan cara itu, katanya.

Beliau memaklumkan jenazah Zahir akan diterbangkan ke Perak untuk pengebumian malam ini.

“Kami sebenarnya mahu dia dikebumikan di sini tetapi kami faham permintaan isterinya,” katanya. Zahir, komander Rejimen Gerak Khas ke-11, meninggalkan 5 orang anak berusia 9 tahun hingga 5 bulan.

Zahir, 36, merupakan anak ke-3 daripada 7 anak AR Badul, atau nama sebenar Armya Aman Ramlie.

Menurut Ketua Polis Penampang, Haris Ibrahim, kejadian itu berlaku pada 8.25 pagi. Polis menyiasat kes itu bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian kerana cuai.

Difahamkan Zahir, yang dipercayai memakai jaket kalis peluru, memainkan peranan pengganas dalam pertunjukan cara itu.

Dalam pertunjukkan itu, dia sepatutnya menembak anggota daripada 5 Div dan 13 Bgd dan mereka kemudian membalas tembakan itu. Zahir bagaimanapun tiba-tiba rebah, menyebabkan para pegawai tentera meluru untuk membantunya.

Kejadian disaksikan para pengamal media yang membuat liputan.

Seorang pemberita yang enggan dinamakan mengesyaki sesuatu tidak kena apabila ternampak Zahir rebah.

“Saya terus rasa ada sesuatu yang tidak kena apabila ternampak dia rebah macam itu,” katanya, dan menambah dia juga ternampak darah pada Zahir.

Sementara itu, bapa saudara Zahir, Mirdat Mohd, 54 berkata, walaupun pihak keluarga menerima apa yang sudah berlaku, mereka masih mahu tentera dan polis menjalankan siasatan dengan teliti.

“Kalau ada kesilapan atau kecuaian, saya hanya mahukan keadikan dan ketelusan. Kami tidak mahu perkara sama berulang di masa depan,” katanya.