Pemakaian tanjak kembali popular sejak akhir-akhir ini. Anak muda kian kerap memuatnaik aksi dan gaya mereka mengenakan hiasan kepala tradisi Melayu di media sosial, khususnya apabila menjelang Hari Raya atau Hari Kebangsaan.

Populariti pemakaian tanjak mungkin sekadar mengikut trend semasa yang tular, tanpa memahami langsung akan maksud tersirat di sebalik gaya simpulan dan pemakaian tanjak menurut tradisi Melayu.

Bukan niat mahu mencari kesalahan, jauh sekali menidakkan keunikan warisan yang telah ratusan tahun menjadi kebanggaan bangsa Melayu di Nusantara, namun kefahaman dan pengetahuan terhadap tanjak atau destar perlu diterap di kalangan anak muda yang memakainya.

Untuk mengetahui ilmu tanjak secara lebih mendalam, Suara Perak menemui Mohd Ridzuan Ahmad Mazaki, 33, seorang pengarang tanjak di Ipoh yang telah berkecimpung dalam seni penggayaan destar sejak … tahun lalu.

Pengarang tanjak ialah mereka yang ahli membuat tanjak. Kini semakin ramai anak muda Melayu yang berminat untuk menjadi pengarang tanjak dan kreatif dalam memodenkan gaya tanjak.

Menurut Ridzuan, pemakaian tanjak adalah lebih baik disusuli dengan pengetahuan mengenai asal-usul gaya tersebut supaya si pemakainya lebih menghargai warisan yang dikendong sejak zaman berzaman.

Katanya, hiasan kepala di kalangan orang Melayu mempunyai signifikannya yang tersendiri. “Tanjak bermaksud tanah yang dipijak. Ia sebahagian daripada destar, iaitu hiasan khas yang digunakan untuk bahagian kepala.

Contoh destar di alam Melayu ialah tengkolok, tanjak, getam, semutar dan tengkolok perempuan,” katanya.

Ujar Ridzuan, ada syarat tertentu bagi si pemakai tanjak, terutama sekali yang melibatkan warna tertentu yang dikaitkan dengan pantang larang.

“Larangan itu termasuk membuat tanjak menggunakan kain berwarna kuning zafaran atau safron.

Warna ini lebih pekat berbanding kuning raja atau kuning susu yang lebih cerah ke arah putih seperti warna kuning bendera negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata, proses mengarang tanjak dilakukan dengan adab tersendiri, kebiasaanya mereka akan mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum memulakan kerja-kerja mengarang.

Ridzuan menambah, terdapat perbezaan di antara tanjak yang dipakai oleh kerabat diraja dan rakyat biasa; ia merangkumi nama dan gaya simpulannya.

“Ada tanjak yang khusus untuk adat istiadat dan ada yang memang khas untuk Sultan, contohnya tanjak Dendam Tak Sudah, ia tidak boleh dipakai oleh orang biasa.

Orang biasa boleh pakai Seluk Timba. “Tanjak Seluk Timba gayanya lebih kurang Dendam Tak Sudah cuma simpulannya berbeza dan terbalik, ia boleh juga dipakai oleh orang bukan Melayu, tidak menjadi masalah,” katanya.

Selain itu, katanya, tanjak adalah khusus untuk lelaki, namun ada hiasan kepala untuk kaum wanita iaitu tengkolok yang mempunyai pelbagai jenis ikatan dan pemakaiannya kekal wujud sehingga sekarang.

Seorang lagi pengarang tanjak sepenuh masa yang ditemui Suara Perak, Mohammad Hafidzul Mohamed Azam, 29, berkata, beliau menjual tanjak secara atas talian sejak beberapa tahun lalu dan sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan.

Katanya, antara jenis tanjak karangannya ialah Takur Tukang Besi, Nahkoda Trong, Mahkota Alam, Anjutan Bingas, Cogan Daun Kopi, Bugis Tak Balik, Bugis Peranakan dam Ayam Patah Kepak.

“Saya nampak ada perkembangan yang baik (pemakaian tanjak) cuma timbul kekeliruan bila ada golongan yang mengarang tanjak tanpa mengikut peraturan.

“Apabila ditegur cara simpulan yang salah, mereka salah faham dan fikir kami suruh belajar demi mengaut keuntungan.

Sedangkan kami cuma mahu memperbetulkan budaya kita supaya tidak cacat, itu sahaja,” katanya.

Hafidzul berkata, keaslian tanjak yang dikarang tanpa kefahaman asal-usulnya akan terhakis.

“Apabila orang tanya tanjak ini asalnya dari mana dan apa sejarahnya, mereka (si pemakai) tidak tahu,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan beliau yang berhasrat mempelajari cara mengarang tanjak kerana tertarik dengan keistimewaan hiasan kepala warisan itu.

Katanya, amat penting untuk berguru dalam pembuatan tanjak kerana ia menggunakan simpulan yang melambangkan ikatan pertalian darah, asal usul dan keturunan gaya simpulan berkenaan.

“Dua bahagian diikat menjadi simpulan tertentu yang melambangkan ikatan perkahwinan yang mewujudkan suami isteri dan ibu bapa.

Ia melambangkan zuriat keturunan yang sah kepada si pemakainya,” kata beliau.

Hafidzul menjelaskan, ikatan simpulan perlu kuat kerana ia melambangkan ikatan pertalian suami isteri yang kukuh.

“Jenis ikatan yang sah melambangkan hasil zuriat yang sah manakala ikatan yang tidak betul melambangkan anak haram atau anak luar nikah,” katanya.