PETALING JAYA : Dr Mahathir Mohamad tidak dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan hari ini, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Terdahulu, media melaporkan Mahathir Mohamad kembali menggalas jawatan pengerusi PPBM, yang keluar gabungan itu pada Isnin.

“Tidak timbul tetapi apa sahaja boleh berlaku. Keadaan berubah dari hari ke hari,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat majlis presiden PH di sebuah hotel hari ini.

“Setakat ini kami PH, beliau (Mahathir) meninggalkan PH,” tambahnya.

Beliau ditanya adakah PH akan temui Mahathir yang dilaporkan menerima kembali jawatan pengerusi PPBM, yang dilepaskannya pada hari sama beliau meletakkan jawatan perdana menteri.

Mahathir melepaskan jawatan itu tidak lama selepas Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan PPBM keluar PH.

PKR, DAP, dan Amanah membentuk kerajaan bersama PPBM di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka.

Di Johor, Istana Johor hari ini mengisytiharkan PPBM dan Umno mewujudkan gabungan baru dan memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.

Semalam, Pakatan Harapan menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Menurut Anwar, PH mengundang Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat majlis presiden semalam bagi memulihkan kerajaannya susulan tindakan PPBM keluar PH, tetapi Mahathir tidak bersetuju untuk hadir.