IPOH – MIC menjangkakan perbuatan sabotaj dikalangan calon parti kaum India itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti akan berkurangan berbanding pilihanraya-pilihanraya yang lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, daripada kajian dalaman yang dibuat setakat ini hampir kesemua ahli berpuas hati dengan keputusan pemilihan calon dibuat oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional.

“Dalam setiap pemilihan calon itu sudah tentu tidak akan ada 100 peratus sempurna, ia susah khususnya untuk MIC kerana kita hanya ada sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Dalam pemilihan memang akan ada ramai yang berharap namun tidak semua dapat, ini perkara biasa dan kita akan menanganinya,” kata beliau pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini pada Rabu.

Dalam masa sama beliau juga mengakui terdapat dua atau tiga kawasan sahaja yang mempunyai masalah ahli kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon namun ia bukan masalah besar.

“Ia tidak begitu teruk di dua atau tiga tempat tapi mungkin dulu hangat sangat, semalam kurang sikit, hari ini reda sikit dan mungkin esok akan kurang dan mungkin lepas penamaan calon ia tidak akan ada lagi.

“Ini satu kebiasaan dalam politik, kalau lihat parti politik lain lebih teruk daripada MIC, dari aspek ini kita bernasib baik isu ini tidak melampau sangat.