KUANTAN: Seorang mekanik sambilan dihukum penjara 72 bulan dan denda 10 ribu ringgit di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan, iaitu memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak; dann memiliki imej dan video lucah kanak-kanak yang disimpan dalam alat peranti.

Lim Min Soon, 40, didakwa memiliki bahan itu di sebuah rumah di Jalan Haji Ahmad, Kuantan pada 11 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih 10 ribu ringgit atau kedua-dua sekali, serta seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa penjara maksimum 3 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang masih bujang itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM10,000 dan jika gagal membayar denda, tertuduh perlu menjalani tambahan hukuman penjara 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh dihukum penjara 36 bulan sebaik selesai menjalani hukuman bagi kesalahan pertama, bersama kaunseling.