IPOH: Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Latif menerbitkan mini album sebagai satu lagi usaha untuk mencari dana bagi Pusat Tahfiz Al-Ulya di Manjoi, dekat sini.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Ulya berkata, ketika ini sumber pendapatan utama mereka ialah yuran daripada 60 pelajar di samping jualan pelbagai barangan ketika berceramah.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pusat tersebut seperti membayar gaji dan penyelenggaraan.

“Bayaran yuran hanya kira-kira RM30,000 sebulan sedangkan perbelanjaan kami antara RM45,000 hingga RM50,000 sebulan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran mini album bertajuk ‘Bismillah’ di Dapur Al-Ulya, hari ini.

Pelancaran album disempurnakan kartunis terkenal tanahair, Datuk Lat.

Mini album yang mengandungi lima buah lagu itu hasil cetusan idea Razman Abdul Hamid, susunan muzik oleh Mohardiman Ismail @ Moha dan
Along Exists sebagai ‘sound engineer’.

Ustaz Azhar melahirkan penghargaan kepada Moha dan Along kerana sudi membantu tanpa sebarang bayaran.

“Sebab itu, semua hasil jualan mini album ini akan dimasukkan terus ke dalam dana pusat tahfiz,” ujarnya.

Menurutnya, semua lagu adalah hasil ciptaannya sendiri manakala penulisan lirik dibantu oleh rakan-rakannya seperti Ustaz Putra, Ustaz Shamsul dan Cikgu Ropie.

Setiap album dijual dengan harga RM20 dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat di laman sosial Facebook Tahfiz Al-Ulya atau menghubungi talian 017-4819629 (Puan Saliza).

Sementara itu, Datuk Lat di dalam ucapannya berkata, lagu-lagu dalam album itu banyak mengandungi nasihat yang menyentuh jiwa.

“Saya harap ia akan menjadi pedoman kepada masyarakat,” ujarnya.