IPOH: Sebanyak 10 kejadian simbahan cat dan asid ke atas kenderaan mewah telah dilaporkan kepada Pusat Khidmat dan ADUN BN Perak di sekitar bandaraya ini sejak 10 Oktober tahun lalu.

Terbaharu, kenderaan SUV seorang ahli perniagaan yang baru dibeli empat bulan lalu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kangsar, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, kejadian simbahan asid itu merupakan taktik terbaru selepas cat.

“Selalu kes-kes begini hanya melibatkan simbahan cat sahaja, tetapi tahun ini ianya berlainan kerana ia mula melibatkan asid.

“Ini cukup bahaya, bayangkan sekiranya terdapat orang dalam itu dan ada orang di dalamnya, sudah tentu akan mencederakan orang, kita tidak tahu siapa pelakunya atau motif namun individu itu secara terang memang menyasarkan kenderaan mewah,” katanya ketika satu sidang media di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh meningkatkan pemantauan dan menahan suspek yang melakukan kerja tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Saya harap orang ramai juga ambil langkah berjaga-jaga, kalau berlaku kepada mereka minta tolong laporkan kepada polis kerana sesetengah orang yang datang membuat aduan kepada kami tidak membuat laporan secara rasmi,” ujar beliau.

Dalam kejadian terbaharu pada Ahad itu, mangsa, Jason Cheng, 34 berkata, dia hanya menyedari SUV yang diparkir di luar pagar rumahnya disimbah dengan asid di sebelah bonet hadapan, serta bahagian kiri kenderaan.

“Saya tidak membuat laporan polis kerana ingat hanya akibat dendam individu tertentu atau tidak berpuas hati kerana isteri saya hampir terlibat dalam kemalangan sebelum kejadiaan berkenaan.

“Namun selepas saya muatnaik gambar kereta saya di media sosial, rupanya terdapat beberapa orang lagi yang juga turut mengalami perkara yang sama,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata pihaknya telah menerima dua laporan mengenai insiden simbahan berkenaan.

“Setakat ini ada dua laporan diteirma, polis pantau perbuatan ini dan usaha mengumpul maklumat sedang dijalankan. Tiada petunjuk dari pengadu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden sebuah kenderaan disimbah asid di sekitar Ipoh Garden.