IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie memberi bayangan akan terus mempertahankan kerusi tersebut jika diberi mandat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.

Katanya, beliau mahu meneruskan perjuangan untuk membangunkan kawasan tersebut yang selama ini menerima sokongan padu daripada UMNO peringkat bahagian dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, ia bukan sekadar retorik bahkan dibuktikan dengan kemenangan yang digapai UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan sejak beberapa penggal pilihan raya terdahulu.

“Masih banyak yang perlu saya selesaikan di Manong khususnya daripada sudut pembangunan, kemajuan dan tarikan kepada pengunjung luar.

“Oleh yang demikian, saya rasa terpanggil untuk terus kekal bertanding di Manong jika diberi mandat dan pada masa akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir,” katanya ketika dihubungi Suara Perak, hari ini.

Mengulas mengenai jentera pilihan raya, Mohamad Kamil yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar berkata, pimpinan dan anggota parti telah bersedia dan hanya menunggu kata putus daripada pimpinan tertinggi parti untuk memulakan gerak kerja secara menyeluruh.

“Daripada sudut kerja dilapangan, program bersama rakyat di kawasan dan bantuan-bantuan lain telah dijalankan. Cumanya, kita hanya tunggu kata putus daripada pimpinan tertinggi untuk melaksanakan gerak kerja dengan lebih agresif dan bersifat menyeluruh,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan dakwaan segelintir pihak berhubung desas-desus kononnya wujud krisis dikalangan pimpinan yang mengetuai UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

“Biasalah, nak dekat dengan PRU14, macam-macam orang boleh cakap tapi yang pastinya kita tetap seperti biasa dan penuh komitmen untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat khususnya masyarakat setempat,” katanya.