KUALA LUMPUR 10 Julai – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersedia untuk mengisytiharkan hartanya pada bila-bila masa sebagai langkah menyambut baik keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) semalam.

Menurutnya, keputusan mesyuarat JKKMAR bahawa anggota Kabinet dan ahli Parlimen akan tertakluk di bawah Etika Perkhidmatan Awam adalah langkah yang tepat bagi mengurangkan dan menghalang sebarang bentuk amalan rasuah.

“Saya bila-bila bersedia untuk isytiharkan harta, malah sebelum ini saya juga sudah isytihar harta di bawah program Invoke Malaysia.

“Pengisytiharan harta itu juga melibatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini kedua-dua jawatan itu dikecualilkan. Saya lihat perkara ini bagus kerana Perdana Menteri juga adalah penjawat awam dan orang yang paling berkuasa, jika dikecualikan beliau akan bermaharajalela,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan 2018 di Dewan Seroja, Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd. Manaf dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri serta ahli Parlimen kerajaan akan tertakluk di bawah Etika Perkhidmatan Awam yang menghalang sebarang bentuk amalan rasuah.

Jelas Perdana Menteri, perkara itu susulan daripada taksiran baharu anggota pentadbiran yang akan diperluaskan termasuk perlu mengisytiharkan aset dan pendapatan serta perlu melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya menerima hadiah selain berbentuk makanan dan bunga.- UTUSAN ONLINE