TANJUNG MALIM: Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hujung bulan ini.

Pengumuman dilakukan Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media khas di Felda Residence Trolak, pada Rabu.

Saarani berkata, pemilihan Zaidi dibuat setelah pucuk pimpinan Umno meneliti, menilai dan mempertimbangkan senarai nama yang dicadangkan.

“Kesemuanya adalah tokoh-tokoh yang berkelayakan dan berkaliber. Namun hanya seorang sahaja di antara mereka yang di pilih.

“Saya bagi pihak Pengerusi Barisan Nasional Malaysia dengan ini mengumumkan bahawa calon Barisan Nasional bagi PRK N58 Slim ialah Mohd Zaidi Aziz,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan serta pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mohd Zaidi, 43, merupakan anak tempatan dari Rumah Awam Kampung Sawa, Slim Village, Slim River dan merupakan pemegang Ijazah Islamic Reavealed Knowledge & Human Sciences dari Universiti Islam Antarabangsa.

Merupakan seorang yang aktif, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia dan sekarang menjadi Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memilihnya sebagai calon, Mohd Zaidi berharap semua pihak bersama-sama membantu mengenalkan kemenangan BN di DUN Slim.

“Saya mohon kepada semua agar marilah kita bersama-sama mengembeling tenaga dan usaha membantu bagi menjayakan kemenangan Barisan Nasional.

“Saya harapkan kita dapat bekerjasama, bersatu hati bersama untuk memenangkan pilihan raya PRK N58 kali ini,” ujarnya.