IPOH – Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh didesak memohon maaf serta menarik balik kenyataan beliau mahu Malaysia membuka ruang kepada Israel dengan membuka kedutaan di negara ini.

Hock Cheh juga diminta menarik balik kenyataannya untuk membuang kalimah Islam pada kad pengenalan yang dilihat sebagai provokasi terhadap umat Islam di Malaysia.

Penasihat Khas Kesatuan Pelajar Pelajar Islam Perak (KPIP), Khairul Amri Abdul Rahman berkata, sekiranya Hock Cheh enggan melakukan demikian persatuan berkenaan akan mengadakan himpunan pelajar Islam bagi mengajar kebiadaban yang diungkap beliau.

“Berpolitik ada batasnya dan jangan ganggu gugat dengan kenyataan yang boleh mengguris hati umat Islam di negara ini.

“Tarik balik kenyataan yang dikeluarkan atau kami akan adakan satu himpunan pelajar Islam bagi mengajar kebiadaban yang diungkapkannya di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara apatah lagi membenarkan kedutaan negara tersebut dibuka di negara ini.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah mengeluarkan kenyataan untuk tidak membenarkan sebarang diplomasi berlaku.

“Mengenai isu kalimah Islam pada kad pengenalan pula kami membantah hujah yang mengatakan bahawa perkataan Islam hanya akan membuatkan rakyat Malaysia berpuak-puak dan menganggap ia adalah pandangan salah,” katanya.

Khairul Amri berkata, Islam sendiri tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana kaum dan agama di negara ini dan banyak perkara boleh dibuat dalam menyatupadukan serta mengeratkan perpaduan – sinar harian