IPOH : Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan, A.Sri Murugan berharap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terus komited dalam mencerminkan nilai pemerintahan yang adil dan inklusif untuk rakyat Perak.

Katanya, inilah masa yang tepat untuk Kerajaan Negeri Perikatan Nasional Perak terus membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.

“Saya memohon agar Menteri Besar dan kerajaan negeri Perikatan Nasional Perak untuk terus memberi keutamaan kepada pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Terutamanya masyarakat India di Perak yang terjadi akibat sikap “Over – Politicking” para pemimpin masyarakat India dalam gabungan pemerintah terdahulu.

“Pelbagai isu seperti isu hak pemilikan tanah, perumahan, peluang pekerjaan dan yang berkait rapat dengan agenda pembangunan sosio – ekonomi masyarakat India Perak dibiarkan tanpa sebarang usaha oleh para pemimpin tersebut.

“Mereka terlalu leka berpolitik setelah berkuasa dan pelbagai janji yang ditabur ketika Pilihan Raya Umum Ke -14 tidak ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri Perikatan Nasional Perak perlu mengambil maklum tentang perkara ini dan bekerjasama secara menyeluruh dengan semua parti komponen dalam gabungan itu.

Dia turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah memperkenan pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

“Tahniah kepada YAB Ahmad Faizal di atas kejayaan membentuk Kerajaan Negeri baru melalui Gabungan Perikatan Nasional,setelah hampir 22 bulan berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Sudah tentunya pembentukan satu gabungan pemerintah baharu di Perak akan mengukuhkan hal ehwal politik dan pentadbiran kerajaan negeri serta pembangunan rakyat,” katanya.