IPOH- Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dapat mempertimbangkan untuk menarik balik arahan menutup Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda, Gerik.

Katanya, keputusan memberhentikan operasi LRA Ayer Ganda itu sememangnya memberi kesan kepada penduduk sekitar, khususnya dengan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Malam semalam saya dapat menghubungi Pengurus Besar Lembaga Air Perak dan beliau memaklumkan pada saya sehingga sekarang SPAN masih belum menarik balik arahan untuk menutup LRA Ayer Ganda.

“Saya berharap setelah dinasihati oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, besarlah harapan saya agar SPAN dapat memberi sedikit ruang kepada rakyat yang akan menggunakan air daripada loji ini untuk kegunaan selain minuman dan makanan,” katanya.

Ahmad Faizal ditemui di Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman Sistem Rawatan Air Safewhere di antara Yayasan Sultan Azlan Shah dan Imam Response & Relief Team (IMARET) di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kenyataan dari Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye baru-baru ini turut mengesahkan air tersebut selamat untuk digunakan bagi kegunaan penduduk Kampung Ayer Ganda.

“Saya sudah menulis surat secara rasmi kepada pejabat Menteri berkaitan dan berjumpa sendiri dengan Menteri di Parlimen.

“Bagaimanapun mereka telah menjawab semula surat itu dan menyatakan tidak dapat menarik balik arahan itu, melainkan mendapat nasihat daripada KKM, yang mana bagi saya sudah pun mendapat jawapan daripada Lee Boon Chye.

“Saya percaya SPAN ada maklumat lain yang saya tak tahu, tetapi kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan itu memadai untuk menarik balik arahan menutup loji tersebut,” katanya lagi.