DUNGUN: “Harganya bukan rekaan, RM70,000 itu murah jika dibandingkan dengan kesukaran saya hasilkan RX-Z Millenium ikut spesifikasi asal,” kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27.

Mekanik motosikal itu ditemui di rumahnya di Kampung Paka, hari ini.

Video penerangan mengenai motosikal RX-Z Millenium berharga RM70,000 itu tular di Facebook baru-baru ini sehingga ditonton lebih 1.3 juta dengan 14,000 perkongsian selain 6,800 tanda suka dan 15,000 komen.

Putera Amirul berkata, dia membeli motosikal RX-Z Millenium keluaran tahun 2000 itu pada 2017 daripada kenalanya dengan harga RM10,000.

“Bagaimanapun, saya sudah membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih motosikal itu dengan menukarkan pelbagai komponen buruk pada motosikal itu dengan komponen yang asli dan baru.

“Semua komponen pada motosikal itu asli dan baru serta dihasilkan 100 peratus sama seperti motosikal yang baru keluar daripada kilang.

“Walaupun motosikal RX-Z Millenium itu keluaran 2000 tetapi ia tidak dikeluarkan lagi dan model itu antara yang paling diminati dan sukar diperolehi sekarang,” katanya.

Tambahnya, komponen asal yang paling mahal pada motosikal RXZ Millenium itu ialah “cover set” iaitu berharga RM10,000 yang dibeli daripada pengumpul motosikal RXZ dari Kelantan.

“Saya menjelajah ke bengkel alat ganti motosikal di seluruh Malaysia untuk mendapatkan pelbagai komponen RX-Z Millenium itu dan sebahagiannya dibeli dari luar negara melalui laman e-Bay.

“Komponen yang dibeli mesti menepati piawaian termasuk mempunyai tag dan mesti masih dalam plastik.

“Atau dengan kata lain, barang baru tetapi stok lama,” katanya.

Menurutnya, dia sengaja meletakkan harga tinggi yang bersesuaian dengan nilai motosikalnya dengan harapan tiada sesiapa yang ingin membelinya.

“Namun begitu peminat dan pengumpul RX-Z tetap menawarkan harga tinggi untuk membelinya.

“Sebelum video motosikal itu menjadi tular, ada peminat RXZ dari Johor menawarkan harga RM55,000 tetapi selepas ia tular di media sosial, pengemar RXZ dari Kuala Berang pula ingin membelinya dengan harga RM65,000.

“Pun begitu saya tidak bersedia untuk menjualnya kerana masih sayangkan motosikal itu dan ingin menyertai Pertandingan Restore Original RX-Z Millenium pada Program RX-Z Members tahun hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima selepas video penerangan mengenai motosikalnya itu tular di media sosial katanya, dia tidak kisah dan tidak menyalahkan warga net yang mengencamnya kerana menyifatkan harga motosikalnya itu tidak masuk akal.

“Nilai motosikal RX-Z itu hanya diketahui oleh ahli dan peminatnya sahaja, sesiapa yang tidak minat dan bukan daripada kalangan pegemar RX-Z tidak akan memahaminya.

“Motosikal saya itu dihasilkan bukan untuk tujuan berkonvoi tetapi khas untuk menyertai pertandingan ‘Restore’ yang dianjurkan dalam komuniti peminat dan pengumpul RX-Z di seluruh negara.

“Sesiapa yang membelinya pasti akan menyimpannya sahaja dan jika bernasib baik boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya yang pernah menjadi naib juara Pertandingan Restore Original RXZ Millenium pada Program RX-Z Members 2019.

Katanya, selain RX-Z Millenium itu dia juga mempunyai RX-Z Millenium yang berharga RM50,000 serta sedang menyiapkan motorsikal RX-Z model Boss keluaran 1994. -BH