IPOH 7 Okt. – Dengan memakai baju bertemakan gaya formal klasik serta bow tie, sebanyak 120 orang berarak de­ngan menaiki motosikal klasik mengelilingi bandar raya Ipoh dalam Program Ipoh Ride 2018 di sini baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Kelab Vespa Vesparado Ipoh, Mohd. Jeffery Amin Abdul Hamid berkata, program yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Koloni Karyawan Amanjaya (Port) itu merupakan tumpuan peminat permotoran seperti cafe racer, klasik, moden klasik, chopper, brat style, bobber, skuter, tracker, side car dan street club.

Menurutnya, pada hari ber­kenaan, mereka berkonvoi seja­uh 46 kilometer, bermula di Silveritage di Gopeng dan berakhir di tempat yang sama serta melalui beberapa kawasan, antaranya Little India, cendol Padang Ipoh, Medan Selera Datuk Sagor, Istana Raja Di Hilir, Greentown Mall dan Bulatan Amanjaya.

“Pada mulanya kami hanya menjangkakan 100 peserta, namun tidak sangka ramai yang mahu menyertainya termasuk golongan wanita sehingga jumlahnya meningkat kepada 120 orang.

“Kami mula bergerak dari Silveritage kira-kira pukul 8 pagi dan berkonvoi secara santai itu berakhir kira-kira satu jam 30 minit kemudian di tempat yang sama. Rata-rata peserta berasa gembira kerana program seum­pama ini baru pertama kali diadakan di Ipoh,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Jeffery, selain dapat beriadah menikmati keindahan bandar raya ini, program itu juga secara tidak langsung dapat mengumpul dan menge­ratkan lagi hubu­ngan persahabatan antara semua pe­minat-peminat fesyen klasik dan motosikal di Ipoh dan ne­geri Perak.

Mohd. Jeffery memberitahu, penganjuran Ipoh Ride 2018 tersebut merupakan salah satu wadah untuk mengetengah dan meran­cakkan lagi ikon pelancongan ne­geri ini kepada peserta terlibat.

Kata beliau, perarakan itu secara tidak langsung dapat mempromosikan lagi keindahan bandar raya ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Selain itu, peserta terlibat­ dapat bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan dalam penjagaan dan restorasi motosikal atau fesyen klasik.

“Ini kerana kebanyakan mereka ini dari kelab-kelab yang berbeza, malah ada juga yang datang dari negeri berhampiran,” katanya.

Sementara itu kata Mohd. Jeffery, selain perarakan motosikal klasik, beberapa program lain turut diadakan dalam aktiviti sehari itu.

Antaranya termasuklah konsert mini, gerai jualan dan pa­meran berkaitan fesyen dan motosikal yang dapat membantu peserta mengenali model-model dan alat ganti motosikal yang tulen dan berkualiti.

“Adalah menjadi harapan agar Ipoh Ride 2018 ini akan menjadi salah satu acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri dan peringkat nasional,” katanya – utusan