KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya sokongan sebilangan Ahli Parlimen UMNO / Barisan Nasional kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya, bukanlah sokongan secara percuma.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau percaya sokongan itu hadir dalam bentuk bersyarat, terutamanya dalam memastikan kemahuan dua pemimpin utama mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dipenuhi.

“Walaupun Datuk Seri Anwar kata yang dia tidak menerima sokongan dari enam Ahli Parlimen yang menghadapi kes-kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar mempunyai kesetiaan lebih kepada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, terpulang kepada Muhyiddin untuk memikir pilihan yang terbuka kepadanya.