TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) sentiasa menjaga persekitaran Taman Tasik Taiping di sini termasuk melakukan pembersihan kolam dua kali setahun iaitu pada bulan April dan Oktober bagi mengawal pembiakan keladi bunting.

Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan terhenti akibat penularan pandemik Covid-19 tetapi akan bersambung pada bulan depan. 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan melakukan kaedah kawalan secara merumpai menggunakan racun rumpai (sistemik) yang tidak membahayakan dan tidak memberikan kesan kepada hidupan air serta pengunjung taman itu.

Menurut beliau, bagi penyelesaian jangka panjang, pihak MPT sedang menjalankan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi menjalankan kajian kualiti air di Taman Tasik Taiping. 

“Keladi bunting adalah tumbuhan akuatik yang tumbuh meliar di tasik Taman Tasik Taiping serta mampu membiak dua kali ganda dengan cepat dalam tempoh masa hanya 12 hari apabila pokok matang dan cuaca panas. 

“Fungsi terpenting keladi bunting ini adalah mengurangkan pencemaran air kerana ia menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis, namun perlu dikawal kadar pembiakan agar tidak membentuk hamparan dalam kawasan tasik,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas air di Taman Tasik Taiping yang berbau busuk dan kotor disebabkan tumbuhan air meliar di tasik di taman tersebut.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim kepada media minggu lalu. -UTUSAN ONLINE