PUTRAJAYA : Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu-satunya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Justeru, katanya, MPT tidak pernah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya, perjumpaan petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, antara Dr Mahathir, dengan pemimpin parti itu dari Bahagian termasuk sayap-sayap parti adalah bagi memberi penerangan perkembangan terkini membabitkan BERSATU selepas ada banyak dakwaan yang dikeluarkan pihak tertentu yang tidak berdasarkan kepada fakta.

“Jadi kesempatan ini kita memberi sedikit kronologi mengenai apa yang berlaku membabitkan MPT parti yang secara jelas membuat dua keputusan dalam mesyuarat MPT sebelum ini.

“Yang pertama ialah calon Perdana Menteri daripada BERSATU tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Dr Mahathir. Tidak pernah ada keputusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri.

“Yang kedua ialah Majlis Pimpinan Tertinggi sebulat suara buat keputusan untuk meminta Tun Dr Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi parti. Itu juga ketetapan oleh MPT.

“Jadi tidak benar sama sekali mana kenyataan yang menyatakan beliau tidak lagi pengerusi parti,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.