KUANTAN: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) akan menumpukan kepada kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN) dan tewas dengan majoriti tipis.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Rahman, berkata pihaknya sudah membuat kajian di tiga kawasan Parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) setiap negeri yang BN tewas dengan majoriti tipis dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat kepada komponen itu.

Katanya, berdasarkan kajian itu, faktor utama kepada keputusan berkenaan adalah sokongan pengundi atas pagar dan pengundi muda kepada BN yang antaranya berpunca akibat penyebaran berita palsu.

“Kita hendak kembalikan sokongan pengundi atas pagar dan pengundi muda kepada BN, sokongan mereka menjadi penentu (kemenangan).

“MUBARAK berasakan perlu untuk kita memperbetulkan persepsi orang muda masa kini yang terjejas disebabkan banyak maklumat tidak tepat di media sosial,” katanya kepada pemberita selepas program larian anjuran Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, sokongan pengundi muda kepada BN penting memandangkan golongan itu menyumbang kira-kira 40 peratus undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pihaknya sudah mengatur program mendekatinya.

“Kita turut mengadakan wacana di beberapa negeri terpilih bagi golongan muda terutama mahasiswa melontarkan idea dan pandangan mereka terhadap kerajaan.

“Mungkin program seumpama ini kami boleh adakan dengan kerjasama parti komponen dalam BN, MUBARAK hanya bertindak sebagai penyelaras menggerakkannya memandangkan PRU-14 bakal diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Perubatan Pakar UIAM berkata, pengundi muda dalam kalangan mahasiswa juga perlu diberi fokus oleh BN memandangkan mereka bakal menjadi penentu masa depan negara.

“Mereka ini yang bakal mencorakkan kemajuan negara pada masa depan dan BN sebagai kerajaan masa kini harus memanfaatkannya,” katanya. – berita harian