IPOH: Mufti Perak Tan Sri Harusssani Zakaria yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh , kini sudah dipindahkan ke wad biasa dan semakin pulih dan stabil berbanding sebelumnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin, pihaknya dimaklumkan berhubung perkembangan terkini itu oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

Ujarnya lagi, lawatan atau ziarah sudah dibenarkan namun perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak hospital.

“Beliau dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir, keadaanya bertambah baik dan beliau sudah boeh respon serta faham apa yang kita cakap.

“Tetapi masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita, bagaimanapun beliau faham. Sebelah bahagian badannya sudah boleh digerakkan, beliau dipindahkan ke wad biasa beberapa hari lepas.

“Jangkaan bila Mufti boleh daftar keluar dari hospital masih belum diketahui, sudah boleh melawat (Mufti) tetapi kena patuh SOP dan kalau boleh bagi peluang kepada Mufti untuk rehat secukupnya,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020 di Dewan Saidina Omar Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) Ipoh pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan keadaan Harussani, 81, lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap akibat serangan strok selepas solat Subuh.

Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir sebelum ini berkata, Harussani sudah mula menunjukkan respon positif selepas dirawat di ICU dan diberi rawatan strok untuk mengembalikan semula perjalanan darahnya.