Oleh: Haron Shafei

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa kerajaan menarik balik keputusan untuk meminda Akta 164 Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 kerana bimbang akan menimbulkan kekeliruan di kalangan golongan Mualaf yang berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam.

Menurut beliau, walaupun tindakan kerajaan untuk menyelesaikan isu penukaran agama oleh pasangan bukan Islam kepada Islam haruslah dipuji dan disokong, tetapi penyelesian yang dicadangkan sepertimana diusulkan di dalam cadangan pindaan Akta 164, akan menafikan hak seorang mualaf, mengenepikan bidang kuasa Syariah dan bercanggah dengan jelas peruntukan Perlembagaan.

Harussani berkata, beliau membuat gesaan itu berikutan Rang Undang-Undang 164 akan dibentangkan di Parlimen pada hujung minggu ini yang bakal mengusulkan penetapan agama kepada anak-anak pasangan tersebut sekiranya berlaku perceraian.

“Saya difahamkan bahawa Rang Undang-Undang 164 mengenai pasangan suami isteri yang mualaf berkahwin dengan orang Islam dan apabila berlaku perceraian, maka anak-anak mereka atau anak yang mereka bawa itu tidak boleh didaftarkan secara Islam oleh sama ada ibu atau bapa kecuali atas persetujuan kedua-duanya (ibu bapa) setelah anak itu mencapai usia 18 tahun.

“Perkara ini adalah cukup berat, satu perkara yang cukup bertentangan dalam perlembagaan dan lebih-lebih lagi terhadap agama Islam dan ia merupakan satu penentangan terhadap hukum yang telah ditetapkan oleh Syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabatnya di Bangunan Kompleks Islam Perak di sini pada Isnin.

Harussani menjelaskan bahawa apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan, ertinya pentadbiran negara sudah tidak lagi mengikut Perlembagaan.

“Yang kedua apabila kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam yang telahpun diperlembagakan sebagai agama negara ini, membuatkan perbuatan ini telah menentang hukum Allah, bila menentang hukum Allah, hukumnya fasik yang membawa kepada syirik,” tegasnya.

Beliau menambah, ia juga akan memperlekeh dan menghina agama Islam, seterusnya akan menjadi perkara yang cukup berat sekiranya undang-undang itu dibentangkan dan diluluskan.

“Kerana itu, tugas saya sebagai seorang mufti menasihatkan kerajaan agar menarik balik cadangan untuk meminda akta tersebut dan tidak dibentangkan pada waktu ini,” ujarnya.

Bahkan, tambah Harussani, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sendiripun telah memutuskan bahwa perkara itu tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan sama sekali dengan Islam dan hukum-hukum Syarak.

Selain dari itu, katanya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 juga telah memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.

“Ini telah dikeluarkan dalam Fatwa Kebangsaan yang telahpun diterima di dalam negara ini,” jelasnya.