IPOH: Keadaan kesihatan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh menunjukkan maklum balas positif dan stabil hari ini berbanding semalam.


Menurut Pakar Saraf dan Neurologi di hospital tersebut, Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir, Harussani mula menunjukkan respon sejak petang semalam selain memberi maklum balas kepada pertanyaan dan boleh bercakap beberapa patah perkataan.


“Semalam Tan Sri telah dimasukkan ke ICU pada pukul 9 pagi kerana menghidap strok, keadaannya agak teruk semalam tapi telah beransur baik dan hingga hari ini nampaknya Tan Sri dan bertambah responsif.


“Kita bagi rawatan strok untuk kembalikan jalan darah dan juga rawatan penyakit biasa, setakat ini responnya bagus biasanya kita akan pantau pesakit dalam ICU hingga stabil dan tidak bertambah teruk.


“Jika sudah bertambah baik, kita akan pindahkan ke wad biasa mulakan fisioterapi dan excercise untuk memulihkan kelemahan anggota badan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Hospital Pakar KPJ Ipoh pada Isnin.


Yang turut hadir, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.


Ujar Zakaria lagi, pihaknya menjangkakan Harussani akan dirawat dan dipantau di ICU dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum dipindahkan wad biasa.


Sementara itu, Akmal berharap orang ramai untuk mendoakan kesihatan Harussani pulih seperti sedia kala.


Katanya lagi, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan pekeliling untuk masjid-masjid di negeri ini menganjurkan solat hajat dan bacaan Yaasin, bagi mendoakan kesihatan Mufti Perak.


Semalam, Harussani, 81, dimasukkan ke wad hospital tersebut selepas mengalami strok.


Beliau dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.


Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran dan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.