KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah krisis melibatkan kepimpinan PKR, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sempat mencelah dengan mengungkapkan serangkap pantun kepada kumpulan itu.

Dr Asri yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik kerajaan berkata pantun itu dibuat “sempena semangat cinta bahasa kita”.

“Sayang teratak ada tepi telaga,

Tangga dipanjat rakan bersampin,

Yang diminta bina ekonomi negara,

Apa mereka buat lawan selak kain.”

Asri berkongsi pantun itu di Facebooknya, hari ini.

Pantun tersebut diungkapkan ketika kehangatan krisis melibatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalannya Azmin Ali yang dikaitkan dengan hubungan asmara sejenis.

Hantaran Dr Asri itu dibuat selepas 22 ahli majlis kepimpinan pusat PKR dan 14 ahli parlimen parti itu mendesak supaya Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pagi ini, mereka berkata Anwar perlu segera menggembleng perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, PH dan negara.

Pada masa sama, mereka menegaskan untuk bersama dengan Azmin yang kini dikaitkan dengan klip video seks melibatkan hubungan asmara sejenis.

Azmin menafikan beliau terlibat dalam insiden tersebut.

Sehingga kini, hantaran Dr Asri itu turut mendapat 377 kongsian dan 1,900 kesukaan (likes).

Rata-rata pengguna meninggalkan komen beserta pantun diruangan komen Dr Asri.

 

-MALAYSIAKINI