KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, adalah antara enam individu bakal dilantik sebagai Senator untuk membarisi Kabinet Persekutuan.

Zulkifli, 51, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama.

Turut bakal dilantik Senator adalah Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan dan Exco MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong, sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, juga akan mengangkat sumpah sebagai Senator, susulan pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar juga akan bergelar Senator, selain Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA yang juga bekas pegawai khas Syed Saddiq Abdul Rahman, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang dilantik Timbalan Menteri Belia dan Sukan.