Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail dan penerjun negara Cheong Jun Hoong yang telah mengharumkan nama tanah air di persada sukan dunia terpilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2015/2016.

Anugerah tersebut disampaikan oleh baginda Sultan Perak Sultan Nazrin Shah,dan kedua-dua atlit negara tersebut menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai bernilai RM7,000.

Anugerah tersebut disampaikan baginda dalam majlis Anugerah Sukan Perak di Hotel Casuarina@Meru dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Hakiki telah memartabatkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas Terbuka Sukan Komanwel Singapura 2016 manakala Jun Hoong pula memenangi pingat perak bagi acara 10m platform seirama pada Olympic Games Rio juga pada tahun lepas.

Anak kelahiran Taiping, Hakimi,26, ketika ditemui memberitahu bahawa beliau tekad untuk mengharumkan nama Malaysia dan negeri dengan lebih baik apatah lagi dengan pengiktirafan sebagai olahragawan negeri.

“Ini mendorong semangat saya untuk fokus pada Sukan Sea untuk cuba dapat pingat emas dan membangkit semangat saya untuk kerja keras bagi melayakkan diri Kejohanan Dunka di London pada Ogos nanti,” katanya

Sementara itu, Jun Yeng,24 mewakili kakaknya,Jun Hoong yang kini berada di China bagi mempersiapkan diri menjelang Sukan Sea ke 29 di Kuala Lumpur kelak.

“Saya mewakili kakak saya, dia tiada di sini tapi gembira dipilih, dia tidak menjangka dia dapat anugerah berkenaan,”ujarnya lagi.

Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan pelbagai penyampaian anugerah antaranya penembak negara, Ahmad Khusyairi Abdul Razak yang dipilih sebagai Olahragawan Harapan dan olahraga Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri sebagai Olahragawati Harapan.

Tidak dilupakan adalah Anugerah Keluarga Sukan yang diterima oleh Badrul Hamidi Gam iaitu bekas atlet tenpin bowling manakala anak-anaknya Syaidatul Afyna dan Syaidatul ‘Afifah yang merupakan atlet tenpin bowling.

Bagi Pasukan Terbaik, ia dimenangi pasukan ragbi Perak yang menerima pingat emas bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong dan Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan pada 2016.

Pasukan Bola Sepak Lelaki Sukma Sarawak dan Pasukan 4x100M (wanita) Sukma Sarawak pula menerima Anugerah Khas Kecemerlangan 2015/2016.

Sementara itu, anugerah kepimpinan sukan dimenangi Tang Choo Meng yang juga jurulatih dan pentadbir olahraga Perak dan negara serta Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada bekas jurulatih Kebangsaan 1981-2015 K.Jayabalan.

Pengorbanan mereka yang dahulu tidak diabaikan dengan pemberian Anugerah Jasamu Dikenang kepada Chow Chew Chun (Shirley) yang merupakan bekas atlet tenpin bowling.

Turut disampaikan anugerah kepada media yang dianugerahkan kepada penerbit rancangan RTM Perak (Perakfm) Saiful Nawab Sabran.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.