SEPANG:┬áBintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid berlepas ke Portugal malam ini bagi melengkapkan perpindahannya secara pinjaman ke pasukan liga utama negara itu, Portimonense SC.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu yang membantu JDT merangkul kejuaraan Liga Super sebanyak empat kali sejak menyertainya pada 2017, dipinjamkan ke Portimonense selama satu musim.

Beliau dijangka tiba di Porto petang esok menjelang tarikh akhir jendela perpindahan liga utama Eropah yang berakhir pada Isnin.

Mengulas mengenai penghijrahannya ke Portugal, Muhammad Safawi berkata ia merupakan satu peluang keemasan dalam mengembangkan kariernya.

“Saya sangat gembira kerana peluang ini datang sekali seumur hidup, pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang dan ini (perpindahan) akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

“Sasaran utama saya adalah membuktikan kemampuan dan merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan,” kata beliau.

Muhammad Safawi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 2018 dan 2019 sekali gus menjadikan beliau pemain paling muda memenangi anugerah MVP pada usia 21 tahun.

Tonggak pasukan kebangsaan itu telah meledak 47 gol dalam 101 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dalam kesemua pertandingan tempatan dan antarabangsa.

“Berat hati sebenarnya nak tinggalkan JDT sebab dah empat tahun bersama, banyak pencapaian saya raih dan banyak memori manis dicipta di sana,” kata anak jati Dungun itu.

Muhammad Safawi akan menjadi pemain Malaysia kedua yang berhijrah ke liga utama Eropah selepas pemain muda meningkat naik negara Luqman Hakim Shamsuddin yang menyertai kelab liga Belgium KV Kortrijk daripada Selangor 2.

Portimonense kini di kedudukan ke-15 Liga Primeira selepas tewas dalam dua aksi pertama saingan musim 2020/2021 yang bermula bulan lepas.

— BERNAMA