PONTIAN : Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan lima daripada 12 suspek yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diseksa semasa penahanan mereka.

Beliau berkata berdasarkan semakan dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pegawai tahanan yang terlibat, terbukti perkara itu tidak benar.

“Bila mereka dibawa keluar dengan peguam mereka dan berhadapan dengan hakim dalam kamar, tidak tak ada buat aduan mengatakan mereka dipukul dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PRK Tanjung Piai, hari ini.

Semalam, lima tahanan itu mendakwa mereka diberi layanan buruk, diseksa dan diugut semasa penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma.

Ini menyaksikan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi merakamkan kenyataan daripada dua tertuduh itu dalam kamera. Wartawan tidak dibenarkan membuat liputan semasa prosiding mahkamah tersebut.

Keterangan dalam kamera bermakna hanya hakim, peguam dan saksi yang dibenarkan hadir semasa prosiding itu.

Muhyiddin berkata beliau tidak boleh menerima bulat-bulat dakwaan tersebut.

Katanya, beliau meminta Hamid untuk membuat siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

“Jika beri kesan pada badan, mereka boleh buat laporan pada pihak polis atau mana-mana pihak untuk tindakan tertentu diambil.

“Jangan ambil tindakan hanya seorang dua orang kata begitu dan buat andaian. Mesti siasat sebab ini tuduhan berat dan saya tak pandang ringan.”