KUALA LUMPUR : Berbanding Azmin Ali, bagi Dr Mahathir Mohamad, ‘luka’ lebih dalam dirasainya berpunca daripada tindakan Muhyiddin Yassin yang diberi kepercayaan menjadi presiden Bersatu selepas mereka diketepikan dari Umno beberapa tahun lalu.

Ditanya semasa berdepan dengan media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur hari ini, Mahathir berkata, Azmin memang memiliki agenda tersendiri dan pada masa sama, Muhyiddin menyusun perancangan yang akhirnya berjaya.

“Dia (Azmin) mempunyai agenda sendiri. Saya rasa dikhianati, paling banyak oleh Muhyiddin.

Beliau (Muhyiddin) merancang ini untuk masa yang lama dan kini dia berjaya,” katanya.

Ketika Mahathir – yang dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri sementara – berkata, Muhyiddin dan penyokongnya sedang menuju ke Istana Negara bagi menghadiri acara angkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.

Terdahulu Mahathir ditanya sama ada beliau berasa marah atau tidak dengan tindakan Azmin yang memulakan gerakan bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR Ahad lalu.