KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kini memangku jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), susulan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari lalu.

Muhyiddin berkata, tugas memangku jawatan tertinggi parti itu, selaras Fasal 16.9 perlembagaan BERSATU, yang menyatakan bahawa jawatan pengerusi akan kekal kosong sehingga pemilihan semula diadakan.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu.

“BERSATU belum mengadakan pemilihan untuk memilih pengerusi yang baharu, justeru saya selaku presiden memangku jawatan Pengerusi BERSATU sehingga pemilihan diadakan kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan terbaharu Muhyiddin ini mencetuskan lebih banyak persoalan.

Ini kerana pada 26 Februari lalu, Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Md Jidin, dilaporkan berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Muhyiddin, membuat ketetapan menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, pada hari berikutnya pula dilaporkan berkata keputusan mesyuarat MPT untuk menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti sudah disampaikan dan dipertimbangkan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pasca perbincangan yang menyaksikan ahli MPT berkunjung ke kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan, Marzuki memaklumkan Dr Mahathir bersetuju kembali sebagai Pengerusi BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Ketika sidang media selepas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi susulan penularan coronavirus (COVID-19) pada Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan kembali menerima jawatan Pengerusi BERSATU selepas membuat pertimbangan ‘panjang lebar’ mengenainya.