KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof untuk segera mengemukakan penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bernilai RM2.6 bilion.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu termasuk keseluruhan pegangan saham Tabung Haji dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Katanya, penjualan keseluruhan saham Tabung Haji dalam TNB terutamanya adalah amat mengejutkan kerana TNB bukanlah syarikat bermasalah, bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungan setiap tahun.

“Malah saham TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada Tabung Haji setiap tahun.

“Lebih pelik apabila dijual ketika harga saham TNB adalah rendah kerana Bursa Malaysia berkedudukan tercorot berbanding bursa-bursa negara seantero dunia yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu. Asyraf Wajdi turut mempersoalkan apakah benar wang pendeposit dalam Tabung Haji juga merosot teruk daripada RM74 bilion kepada RM69 bilion sahaja ketika ini?

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak menteri berkenaan yang menjaga semua agama untuk menyatakan penjelasan segera sebelum makin ramai pendeposit hilang kepercayaan kepada Tabung Haji.

“Akhir sekali saranan Pemuda UMNO agar beliau (Mujahid) untuk kembali fokus kepada tugas hakiki dan jangan hanya sibuk menyerang pembangkang dengan pelbagai kenyataan pelik-pelik mengenai penyatuan ummah dan muafakat nasional,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE