KUALA LUMPUR – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, bukan beliau yang seharusnya memohon maaf kepada Datuk Seri Mujahid Yusof, sebaliknya yang perlu berbuat demikian adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak membuat apa-apa tuduhan ataupun dakwaan fitnah.

Sebaliknya, jelas beliau, Pemuda UMNO mendesak Mujahid untuk segera memberikan penjelasan mengenai berita penjualan ekuiti tersebut Lembaga Tabung Haji yang sudah dilaporkan meluas di muka hadapan Utusan Malaysia pada 30 September 2019 dan portal ekonomi The Malaysian Reserve pada 27 September 2019.

“Sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan saya, desakan menuntut penjelasan segera daripada YB Menteri adalah penting bagi memastikan keyakinan para pendeposit tidak terjejas.

“Justeru, saya menuntut YB Menteri Dr Mujahid yang seharusnya memohon maaf kepada saya secara terbuka dalam tempoh seminggu bermula hari ini dan menarik balik dakwaannya bahawa saya dengan sengaja mahu meruntuhkan institusi TH dengan mengibaratkan saya umpama, “marahkan nyamuk, satu kelambu dibakar”,” kata Asyraf dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tegasnya, sebagai Menteri, Mujahid seharusnya menerima gesaan dengan hati terbuka dan berjiwa besar dan bukannya melatah dengan membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan melulu.

Semalam, dalam hantarannya di Facebook, Asyraf berkata Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Mujahid Yusof untuk segera membuat penjelasan berkenaan penjualan aset-aset strategik Tabung Haji bernilai RM2.6 bilion termasuk keseluruhan pegangan saham Tabung Haji dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB adalah amat mengejutkan kerana TNB bukanlah syarikat bermasalah bahkan salah sebuah syarikat paling stabil daripaa segi keuntungan setiap tahun.

Malah saham TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada TH setiap tahun.

Mujahid yang mengulas desakan Pemuda UMNO itu telah memberi tempoh seminggu kepada Asyraf untuk memohon maaf secara terbuka kepada Tabung Haji.

Katanya, Asyraf perlu menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadap TH yang telah mengeluarkan kenyataan balas menafikan tuduhan berkenaan.

“Saya bagi tempoh seminggu dari hari ini, jika tidak saya akan memikirkan tindakan undang-undang, sebab beliau sudah melampau membuat tuduhan,” kata Mujahid.

– MalaysiaGazette