PUTRAJAYA : Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir sedia dipecat parti susulan perbezaan pendapat antara kumpulan penyokong Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan perdana menteri ke-8.

“Itu satu risiko kami kena hadap, saya dah biasa kena pecat dari parti.

“Tiada tindakan diambil lagi (setakat ini),” katanya selepas mesyuarat tertutup Mahathir bersama pemimpin akar umbi Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana petang tadi.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula sedia berdepan apa jua tindakan diambil terhadapnya termasuk pemecatan oleh Presiden parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya masih lagi pemimpin dalam parti berkenaan.

“Saya masuk parti ini kerana saya menentang pemimpin memakan rasuah dan salah guna kuasa dan mahu membersihkan politik negara. Dalam bab ini, sebagai pemimpin muda, kita perlu berani kerana benar dan ia adalah salah satu kata-kata yang sentiasa didedahkan kepada ahli parti ini.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan diambil untuk bekerjasama dengan UMNO secara keseluruhan parti berkenaan yang dipimpin oleh pemimpin rasuah.

“Apabila saya memberikan pendirian ini kerana saya tidak ingin bersekongkol dengan pemimpin rasuah, tindakan diambil terhadap saya.

Namun, biarlah kerana saya percaya dan berpendirian teguh dengan kata-kata berani kerana benar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perjumpaan Ketua Bahagian, Srikandi dan ARMADA BERSATU bersama Dr Mahathir diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pendekatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan UMNO secara keseluruhan tidak dapat diterima.

“Beliau (Muhyiddin) yang juga Perdana Menteri seperti seorang ayah kepada diri saya. Namun, tindakan beliau mengambil ketetapan untuk bekerjasama dengan UMNO dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak dengan kes jenayah terhadapnya sangat tinggi sekali namun masih ingin bekerjasama dengan mereka.

“Disebabkan itu, saya berpendirian untuk tidak bersama dengan mereka kerana perlu ingat kenapa parti ini diasaskan iaitu untuk menentang pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Mungkin akan ada tindakan dikenakan tetapi sebagai anak muda, kita mesti menyampaikan mesej yang betul iaitu politik berprinsip, amanah, berintegriti dan bermaruah sekali gus memastikan komuniti kekal bersih serta berprinsip,” katanya.