GOLD COAST: Terjunan lemah Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri menjadi punca hilangnya potensi pingat emas acara papan anjal 3m seirama wanita, sekaligus menamatkan saingan dengan kilauan gangsa di Pusat Akuatik Optus, sebentar tadi.

Pasangan penerjun negara itu mencatat 264.90 mata keseluruhan, manakala penerjun tuan rumah, Esther Qin-Georgia Sheehan meraih emas dengan catatan 284.10 mata dan Alicia Blagg-Katherine Torrance, dari England meraih perak (276.90 mata).

Namun, prestasi yang dipamerkan Mun Yee-Dhabitah itu harus dipuji memandangkan ia adalah penamat pertama negara di pentas podium bagi sukan ini.

Mun Yee-Dhabitah berada di kedudukan kedua selepas empat terjunan dan hanya memerlukan 60 mata untuk meraih emas namun mereka hanya mampu melakar 42.30 mata pada terjunan seterusnya.

Malaysia dijadual beraksi dalam acara 1m papan anjal lelaki dan 10m platform seirama wanita, hari ini – berita harian