KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan hanya memakai pelindung muka ketika ke sekolah dan tidak perlu memakai pelitup muka pakai buang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu diberikan kerana kos pembelian pelitup muka pakai buang membebankan keluarga pelajar miskin terutama memiliki anak ramai.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun penggunaan pelindung muka bersama pelitup muka adalah digalakkan. Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai pelitup muka itu lebih baik.

“Namun, kalau tiada pelitup muka, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelindung kepada kesihatan diri sendiri,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran itu diberikan kerana memikirkan kos pembelian pelitup muka pakai buang yang agak membebankan keluarga pelajar miskin, terutama apabila mereka mempunyai anak ramai.

“Ini untuk permudahkan dan memberi sedikit ruang serta kelonggaran kepada pelajar miskin sebab saya difahamkan harga pelindung muka adalah lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping dan boleh diguna berbulan-bulan.

“Untuk membeli pelitup muka pakai buang, ini agak membebankan bagi keluarga kurang berupaya dan keluarga miskin. Kalau sekeping RM1, kalau anak lima orang, sudah RM5 kos untuk sehari,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun KKM perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah untuk membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan ia selamat digunakan untuk jangka masa lama.