RAUB: Seorang murid tahun dua terpaksa menanggung kesakitan lebih tiga jam apabila kaki kanannya tertusuk besi sepanjang kira-kira 0.5 meter sebelum dikejarkan ke Hospital Raub, di sini, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Nurhan Haziq Mohd Zaidi sedang melakukan aktiviti luar bilik darjah.

Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Raub bagi membantu memotong besi itu pada jam 3.25 petang.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub tiba lima minit kemudian bagi membantu pihak hospital memotong besi itu.

“Mereka menggunakan alat khas pemotong besi bagi membolehkan besi yang tertusuk di tapak kaki murid berkenaan dipotong dengan selamat,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit melakukan kerja pemotongan besi itu di wad kecemasan sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital bagi menjalani pembedahan.

Beliau berkata, ketika operasi dilakukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan memberikan kerjasama baik – berita harian