IPOH – Seorang murid lelaki Tahun Tiga di Sitiawan disahkan positif Covid-19 menjadikan tiga kes baharu direkodkan di Perak hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam kenyataannya di Facebook rasmi berkata, murid berusia 9 tahun itu mempunyai sejarah menghadiri satu perjumpaan keluarga di daerah Hilir Perak pada 3 Oktober lalu.

“Kes ini tidak ada gejala dan siasatan mendapati individu itu merupakan kontak rapat dengan seorang kes positif dari Kluster Simera (Selangor) yang turut hadir di majlis tersebut,” katanya.

Dalam kenyataan sama, JKN Perak memaklumkan, dua kes lagi membabitkan seorang wanita berusia 46 tahun bersama anak perempuannya berusia 20 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mereka mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan selesema antara 8 hingga 11 Oktober lalu sebelum membuat saringan di sebuah hospital swasta pada Isnin lepas. “Pengesahan RT-PCR yang dibuat semalam adalah positif. Buat masa ini punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua kes berkenaan merupakan kes jangkitan tempatan dan pesakit telah diasingkan serta dimasukkan ke dalam hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, pengesanan kontak kini sedang dijalankan.

Tiga kes itu sekali gus menjadikan Manjung sebagai daerah baharu di Perak yang mempunyai jangkitan positif Covid-19.

Hari ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir Batu 8 di Sitiawan ditutup selama tujuh hari sehingga 20 Oktober bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan desinfeksi dijalankan.

Penutupan sekolah itu adalah terbaharu yang diputuskan selepas enam sekolah dalam daerah Larut Matang Selama (LMS) ditutup kelmarin bagi tujuan sama.