SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) menerima kejutan pertama hari ini apabila calon gergasi yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak disenaraikan dalam calon parti Barisan Nasional (BN).

Menurut laporan portal berita Awani, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan Musa tiada dalam senarai calon yang akan bertanding dalam PRN Sabah.

“Saya tidak ada perbincangan mengenai itu (pulang ke Sungai Manila),” kata Bung Moktar.

“Nama beliau juga tiada dalam senarai calon (Barisan Nasional) yang akan diumumkan esok (Khamis),” katanya.

BN dijangka mengumumkan senarai nama calon PRN Sabah kira-kira pukul 10 pagi Khamis.

Musa sebelum ini membayangkan tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga sebaliknya akan beralih ke kerusi Sungai Manila.

Kerusi DUN Sungai Manila merupakan salah satu daripada 13 kerusi baharu dalam PRN Sabah kali ke-16 ini.

“I’m going back to Sungai Manila,” jelas Musa di akaun Facebook peribadinya pada Rabu.