PETALING JAYA : Pemuda PPBM hari ini menyifatkan Umno sebagai tamak kerana memperkecilkan parti itu di Perak yang didakwa cuba menafikan hak parti itu terus kekal sebagai menteri besar dalam gabungan politik baru.

Exco Pemuda PPBM, Ashraf Mustaqim menganggap tindakan Umno negeri itu sebagai biadap kerana terlalu mengejar kuasa tanpa memikirkan perasaan parti lain.

“Kenyataan terbaru Azian Osman, setiausaha Umno Perak, jelas menunjukkan tiada kesefahaman antara rakan Perikatan Nasional.

“Bukan beliau tidak tahu, sekarang adalah minggu yang kritikal untuk perdana menteri memilih dan melantik anggota Kabinet Perikatan Nasional. Saya anggap beliau sengaja mencetuskan kontroversi sewaktu pemilihan jawatan penting ketika ini.

“Saya kira PPBM sudah cukup berlembut dan berhemah dalam Perikatan Nasional. Tidak adapun kenyataan atau ucapan yang boleh mengguris perasaan rakan Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Ashraf berkata, bukti PPBM berlembut ialah apabila ia tidak mempersoalkan penyerahan kerusi menteri besar Johor kepada Umno.

“Tidak ada perkataan merajuk atau tersinggung hati pun daripada perdana menteri.

“Apabila Perikatan Nasional Melaka secara rasmi menarik balik kerjasama dengan Adun PPBM, tidak ada suara sumbang daripada PPBM membantah.

“Sekarang Umno Perak pula cuba tunjuk belang dan persoalkan ‘apa merit PPBM nak MB’ sambil menuduh PPBM tamak dan perlu guna akal,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan Perikatan Nasional perlu sedar bahawa parti itu tidak akan kembali ke Putrajaya tanpa ihsan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

“Mustahil Perikatan Nasional akan wujud tanpa PPBM, dan sudah semestinya Umno dan PAS yang sebelum ini pembangkang perlu berusaha keras untuk menjadi kerajaan,”katanya.

Katanya Umno juga tidak perlu besar kepala di Perak dan perlu menghormati dan mengekalkan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar daripada PPBM.

“Faizal adalah menteri besar yang sah, malah beliau mendapat sokongan penuh daripada Pakatan Harapan (PH) negeri walaupun PPBM umum keluar PH.

“Faizal boleh menjadi penentu. Dia boleh pilih untuk kekal bersama PH sebab majoriti adalah bersama beliau. Semua pihak perlu menghormatinya untuk kekal sebagai menteri besar,” katanya.

Sebuah portal melaporkan, Azian mempersoalkan apakah merit ‘mereka’ untuk memegang jawatan sebagai menteri besar.

Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa, namun berdasarkan situasi semasa, “mereka” itu dipercayai merujuk kepada PPBM.

Beliau berkata, biarpun PPBM sebuah parti kecil, ia mendapat jawatan paling besar iaitu perdana menteri.

Daripada 59 kerusi DUN Perak, PH kini menguasai 28 kerusi, manakala BN mempunyai 25, PAS (3), PPBM 2 dan Bebas 1.