Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang warga emas yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100 pada Disember ini, Khiew Woon Siew menjadi penerima pertama kad pengenalan Malaysia, MyKad, melalui inisiatif turun padang terbaharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak.
Pengarah JPN Negeri, Zulazlan Abu Hassan berkata, program yang dikenali sebagai Touch Walkabout itu diperkenalkan pada Ogos tahun lalu yang bertujuan untuk mengesan warga emas berusia 100 tahun dan ke atas yang masih belum memiliki MyKad.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah berjaya mengenalpasti dua individu berusia 100 tahun ke atas dan Woon Siew adalah salah seorang daripadanya.

“Program ini merupakan perintis untuk memperkasakan semula pendekatan JPN bersama rakyat. Itulah tugas kami, mendaftar kelahiran, merekodkan kematian dan memastikan dokumen pengenalan diri diperolehi oleh setiap warganegara.

“Justeru, saya berharap program Walkabout JPN ini dapat memberi manfaat yang cukup besar kepada semua,” katanya kepada pemberita ketika melawat ke rumah Woon Siew di Kg Baru Kuala Kuang, Chemor kira-kira 20 kilometer dari sini pada Jumaat.

Lawatan itu disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed yang menyampaikan MyKad kepada Woon Siew.
Penyerahan kad pengenalan itu dibuat dalam satu majlis ringkas yang diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-100 warga emas tersebut yang kini tinggal bersendirian di rumahnya itu.

Menurut Zulazlan, pihaknya membuat semakan di pangkalan data dan mendapati ada beberapa individu lain yang termasuk dalam kategori warga emas yang disasarkan melalui program Touch Walkabout itu.

“Namun kami perlu turun padang dan mengesahkannya kerana sesetengah kematian warga emas tidak dilaporkan kepada JPN oleh waris masing-masing. Justeru, rekod kematian mereka tiada dalam simpanan.

Sementara itu, Mohamad Ziad yang menyambut baik program turun padang JPN itu berkata, inisiatif yang dijalankan oleh jabatan tersebut memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada masyarakat tanpa mengira kaum.

Katanya, beliau amat menghargai usaha JPN yang berusaha untuk menjejaki warga emas seperti Woon Siew yang mencecah usia seabad dan memberikannya sekeping kad pengenalan berkualiti tinggi.

“Kalau Encik Khiew ini mahu pergi ke JPN untuk menukar kad pengenalannya mungkin agak sukar atas kekangan kesihatan dan keadaan fizikal yang dialaminya.

“Pada hari ini (dengan penyampaian MyKad), saya tengok dia (Khiew) begitu gembira (lebih-lebih lagi) dengan hadiah, kek dan sumbangan yang diterimanya,” katanya.

Mohamed Ziad berkata, pemberian MyKad tersebut merupakan sesuatu yang bersejarah dan membuktikan usaha kerajaan yang sentiasa peka dalam menyelami keperluan rakyat.

“Melayu, Cina, India, kita semua merupakan keluarga besar. Ini adalah sesuatu yang baik dalam kita hidup bermasyarakat.

“Walaupun acara memberi kek dan menyanyikan lagu ucapan selamat ulang tahun ke-100 serta hadiah hamper untuk Encik Khiew ini dilihat ringkas, namun ingatan itulah yang bermakna buat beliau,” ujarnya.