GOPENG: MyPPP Perak sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Ong Chee Keng berkata, jentera MyPPP sudah digerakkan, bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, seterusnya ke kawasan-kawasan DUN lain.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang telah ditubuhkan sejak 65 tahun, MyPPP mendapat sokongan daripada pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.

BERITA BERKENAAN : Dr M Umum Calon DUN Kedah Jumaat Ini

“Kita bukan sahaja mendapat sokongan orang Cina, malah turut mendapat sokongan orang Melayu, India dan juga Orang Asli,” katanya ketika ditemui selepas majlis jejak kasih ahli-ahli lama MyPPP di Dewan Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Rendah Lawan Kuda di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Pengerusi MyPPP Perak, Mustafar Rahadi; Setiausaha MyPPP Perak, Harder Singh; Ketua Pemuda MyPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid; Ketua Wanita MyPPP Perak, S. Tilagawathy dan Ketua MyPPP Bahagian Gopeng, Mohamad Ismail Hod.

Chong berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengenai calon-calon yang akan bertanding PRU-14.

“Siapa sahaja calon, tidak kira dari parti komponen mana, kita akan kerja kuat untuk memastikan kemenangan BN,” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata, kerajaan BN sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat, tanpa mengira musim, bagi memastikan tiada tertinggal, tiada terpinggir.