MENEPATI ramalan, jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal berjaya merangkul kejuaraan perseorangan lelaki Terbuka Perancis 2020 pada Ahad dalam aksi menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Kemenangan Nadal itu sekali gus berjaya menyamakan rekod kemenangan Roger Federer dari Switzerland dengan 20 trofi Grand Slam setakat ini, tertinggi dalam Open Era bagi kategori perseorang lelaki.

Aksi yang berlangsung selama 2 jam 41 minit itu menyaksikan Nadal menang mudah ke atas jaguh Serbia itu dengan straight set 6-0, 6-2 dan 7-5 di Stade Roland-Garros, Paris.

Set ketiga yang juga merupakan set penentuan memperlihatkan kebangkitan Djokovic namun Nadal tidak membiarkan rentak kemaraan itu menghalang misinya merangkul kejuaraan kali ke-13 di gelanggang tanah liat itu.

Kemenangan ini jelas membuktikan Djokovic masih belum berjaya mendominasi gelanggang tanah liat seperti penguasaan kukuhnya di pentas Terbuka Australia dengan lapan trofi kemenangan setakat ini dan kali terakhir berbuat demikian adalah menerusi edisi tahun ini di Melbourne.

Djokovic setakat ini hanya berjaya merangkul trofi Terbuka Perancis pada 2016 dalam aksi menentang Andy Murray.

Sekilas fakta, kali pertama Nadal atau gelarannya “King of Clay” ini meraih kemenangan di gelanggang Terbuka Perancis adalah pada 2005 ketika berusia 19 tahun selepas kali pertama menyertai kejuaraan tersebut.

Nadal seterusnya terus konsisten apabila berjaya mempertahan kejuaraan di gelanggang sama pada 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2017, 2018, 2019 dan 2020.

Aksi di pentas akhir sebentar tadi merupakan pertemuan dua gergasi sukan tenis ini buat kali ke-56 dengan Djokovic mencatat 29 kemenangan berbanding 27 oleh Nadal.