PEMANDU lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan membaling kunci mangga motosikal sehingga wanita itu terpaksa menerima tiga jahitan di kepala, Selasa lalu.

Mohd Hairie Abd Jalil, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Noor Azizah Ahmad, 33, dengan membaling kunci mangga motosikal ke belakang kepala mangsa sehingga berdarah dan mendapat tiga jahitan.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak motosikal Blok D, 109 Apartmen Kelisa Ria, Kampung Sungai Tangkas, Kajang, pada 1.30 pagi, 1 Mei lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama boleh dikenakan dua kali ganda tempoh hukuman jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R Siamalah menawakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana dia penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan kes – berita harian