SIMPANG PULAI – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan dua motosikal lain selepas melalui selekoh menuruni bukit di KM48 Jalan Keramat Pulai di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Mohd Fazil Zahri,23, yang menunggang Naza Blade berasal dari Kuala Krai, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak ke longkang berhampiran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dua penunggang motosikal masing-masing menunggang Kawasaki Z1000 dan Z900 dilaporkan cedera.

Menurutnya, mangsa menunggang dari arah Cameron Highlands menuju ke Simpang Pulai manakala, kedua-dua penunggang lain berusia 65 dan 57 tahun pula dari arah bertentangan.

“Siasatan awal dipercayai mangsa yang melalui satu selekoh telah memasuki laluan bertentangan menyebabkan penunggang berusia 65 tahun cuba mengelak ke kanan sebelum kenderaan mereka bergesel.

“Bagaimanapun, rakannya yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke kiri jalan,” katanya.

Mohd Ali berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Penunggang ketiga mengalami kecederaan parah telah dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kenderaan mangsa mengalami kerosakan di hadapan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – sinar