KAJANG: Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mempunyai peruntukan untuk melantik individu tertentu ke jawatan Naib Presiden pada masa ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang BERSATU boleh melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke jawatan Naib Presiden adalah pandangan peribadi.

“Itu adalah pandangan peribadi Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal) sendiri. Mengikut perlembagaan tidak ada peruntukan untuk sesiapa dilantik memegang jawatan Naib Presiden,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Majlis Hari Penjara ke-230 di Ibu Pejabat Penjara di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam yang BERSATU belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan jawatan Mohamed Azmin dalam parti berkenaan.

Menurut Ahmad Faizal, sebarang cadangan berhubung jawatan untuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Ahmad Faizal sebelum ini dilaporkan berkata, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) BERSATU bakal membincangkan pelantikan Mohamed Azmin sebagai seorang daripada Naib Presiden parti itu.

Mohamed Azmin dan pengikutnya termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyertai BERSATU secara rasmi pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Hamzah berkata, BERSATU menerima keahlian bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu yang akan memiliki piagam sendiri.

“Ahli bersekutu ini akan kita jadikan satu bahagian yang mempunyai piagamnya sendiri, maknanya mereka memilih siapa yang menjadi pengerusi, timbalan pengerusi dan sebagainya.

“Itu kita berikan peluang untuk mereka menyertai keseluruhan (parti) kerana mereka akan mempunyai ‘chapter’nya sendiri dan perkara ini telah dibincangkan dalam MPT,” katanya.

Tambahnya, BERSATU melantik Tan Sri Rais Yatim untuk menjadi pengerusi jawatankuasa bagi mengkaji aspek perundangan bagaimana untuk mereka lakukan dengan sebaik mungkin sebelum perkara itu dibawa ke Perhimpunan Agung BERSATU Oktober ini. – BH