IPOH: Projek menaik taraf Padang Ipoh akan diteruskan seperti dirancang kerana ia bakal memberi manfaat untuk menjadi daya tarikan pengunjung dan menghidupkan suasana malam di bandar ini yang kerap digambarkan sebagai bandar mati.

Pada masa sama, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perlu memastikan kerja-kerja yang sedang berjalan mengikut aturan manakala pihak kontraktor pula mematuhi syarat-syarat kerja yang ditetapkan di lokasi bersejarah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, anggota penguat kuasa perlu ditugaskan bagi memantau proses kerja agar tidak berlaku kerosakan pada kawasan padang tersebut.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius serta mengambil maklum berhubung aduan awam tentang penggunaan kenderaan berat yang menyebabkan tanah pada sisi padang itu lecak.

“MBI perlu memantau kerja-kerja kontraktor ini agar apa-apa lokasi berstatus warisan dijaga.

“Pada masa sama, kita juga mengakui ada kesilapan daripada pihak kontraktor apabila tidak meletakkan papan tanda kerja lalu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang ramai,” ujarnya pada sesi penerangan kepada Pembantah Projek Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Padang Ipoh di Bangunan MBI di sini semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

Sesi itu diadakan susulan bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan wakil-wakil komuniti bandar ini yang tidak bersetuju kawasan padang berusia 130 tahun itu diusik dengan projek pembangunan.

Sementara itu, Rumaizi berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan awam berhubung projek tersebut selain menegaskan keputusan menaik taraf Padang Ipoh dilaksanakan mengikut prosedur setelah diputuskan pada mesyuarat pihak atasan.

Bagaimanapun, katanya, berlaku kekhilafan berhubung sesi pendengaran awam yang diadakan pada Ogos lalu mengenai projek tersebut untuk pengetahuan umum.

“Saya akui terkhilaf kerana dimaklumkan sesi pendengaran telah diadakan, namun diberitahu kemudian bahawa isu Padang Ipoh tidak dibincangkan secara spesifik.

“Sehubungan itu, lebih banyak libat sama antara pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan komuniti dengan MBI akan dijayakan agar semua pihak dapat memberikan pandangan untuk sama-sama memajukan bandar raya ini pada masa hadapan,” ujarnya.

Projek cahaya dan bunyi di padang berkenaan dibiayai oleh Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) tetapi mendapat bantahan beberapa pihak yang bimbang warisan sejarah di Padang Ipoh mungkin terjejas. – UTUSAN