KUCHING: Kehadiran ‘Najib’ dan ‘Mahathir’ menarik perhatian ketika kedua-duanya menghadiri proses pengundian awal di Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Sarawak di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mereka bukanlah tokoh politik yang menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini, sebaliknya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di negeri ini.

Berasal dari Semenanjung, kedua-duanya mencuri tumpuan kerana secara kebetulan mengundi di pusat pengundian yang sama.

Mahathir yang enggan nama penuhnya disiarkan, berkata kehadirannya bersama rakan setugasnya itu hanya untuk menunaikan hak memilih masing-masing, malah tidak menyangka sama sekali mereka menjadi tumpuan.

“Ini memang di luar jangka, kebetulan nama kami sama dengan dua tokoh pemimpin berkenaan yang kini menjadi tumpuan di seluruh negara menjelang PRU-14.

“Memang tidak kami sangka, tag nama kami menarik perhatian dan menjadi viral di laman sosial, termasuk pihak media sendiri,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini.

Dua anggota polis berkenaan sebahagian daripada 24,545 pemilih berdaftar yang terbabit dalam pengundian awal di 57 pusat pengundian merangkumi 79 saluran pengundian di Sarawak.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah memaklumkan kebanyakan pemilih yang terbabit dalam proses pengundian awal itu adalah anggota pasukan keselamatan bersama pasangan masing-masing yang bermastautin di negeri ini.

Katanya, ada antara pegawai dan anggota berkenaan terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang proses pengundian berlangsung pada 9 Mei ini.

“Keseluruhannya, proses pengundian awal membabitkan pegawai dan anggota tentera serta polis di seluruh negeri berjalan lancar sejak proses pengundian dibuka seawal jam 8 pagi tadi,” katanya – berita harian

BERITA BERKENAAN : BR1M Bantuan Ikhlas Untuk Rakyat, Jangan Perlekeh – PM