KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung pelbagai barang yang dirampas di kediaman dikaitkan dengannya yang ditaksirkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung penemuan wang tunai, barang kemas, beg tangan dan pelbagai barangan mewah lain.

“Kami perlu tahu dari mana semua barang berharga itu diperoleh,” katanya.

Beliau berkata polis menyiasat kes itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pada 22 Mei lalu, Najib dipanggil kali pertama memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Najib hadir bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selama 4 jam.

Najib kemudian dipanggil kali kedua memberi keterangan di SPRM pada pada 24 Mei lalu selama tujuh jam – berita harian